Tuesday 12 April 2011

KONSTRUKTIVISME

Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boleh dipindahkan daripada guru kepada pelajar dalam bentuk yang serba sempurna. Pelajar perlu membina sesuatu pengetahuan itu mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh pelajar sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran pelajar tidak akan menghadapi realiti yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui oleh pelajar adalah realiti yang dibina sendiri. Mereka sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.

Beberapa ahli konstruktivisme yang terkemuka berpendapat bahawa pembelajaran yang bermakna itu bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid. Ahli konstruktivis menegaskan bahawa pembelajaran dipengaruhi oleh konteks sesuatu idea diajar serta kepercayaan dan sikap pelajar. John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Dari perspektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme, fungsi guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara melaksanakan kurikulum. Sebagai contoh, perspektif ini akan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan murid meniru dengan tepat apa saja yang disampaikan oleh guru kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan murid membina skema pengkonsepan berdasarkan kepada pengalaman yang aktif. Ia juga akan mengubah tumpuan penyelidikan daripada pembinaan model daripada kaca mata guru kepada pembelajaran sesuatu konsep daripada kaca mata murid.

Selain itu, konstruktivisme ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu konstruktivisme endogenous, eksogenous dan dialektikal. Konstruktivisme endogenous membawa maksud pengetahuan diperoleh daripada pengetahuan terdahulu dan bukannya daripada interaksi alam sekeliling. Pelajar membina pengetahuan tersebut secara kognitif. Konstruktivisme eksogenous pula merupakan pengetahuan yang diperoleh daripada interaksi alam sekeliling. Pemerolehan pengetahuan merupakan pembinaan semula dunia luar yang mempengaruhi kepercayaan melalui pengalaman, pendedahan kepada percontohan dan pengajaran. Manakala konstruktivisme dialektikal pula merupakan gabungan endogenous dan eksogenous. Pengetahuan diperolehi secara kognitif dan juga interaksi dengan individu dan alam sekeliling. Pengetahuan adalah refleksi hasil yang diperolehi daripada kontradiksi mental yang berlaku daripada interaksi dengan alam sekeliling.

Kesimpulannya, konstruktivisme merupakan hasil pembelajaran yang diperoleh daripada pengetahuan sedia ada pelajar. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar bertanggungjawab terhadap hasil pembelajaran mereka sendiri. Pengalaman sedia ada pelajar banyak membantu dalam menentukan hasil pembelajaran yang akan diperoleh mereka. Oleh itu, dalam konsep konstruktivisme ini, seseorang pelajar itu banyak menggunakan pengalaman mereka sebagai usaha untuk memahami setiap perkara yang mereka pelajari.

RUJUKAN
Ng Kim Choy (1999). Teori konstruktivisme. Diperoleh pada Februari 16, 2011 daripada
http://www.teachersrock.net/prinsip_kon.htm.

Scribd (2009). Konstruktivisme. Diperoleh pada Februari 26, 2011 daripada
http://www.scribd.com/doc/414320/Konstruktivisme.

No comments:

Post a Comment