Tuesday 12 April 2011

ELEMEN DAN PRINSIP REKAAN

Unsur seni merupakan elemen-elemen bahasa seni visual. Unsur seni merupakan aspek penting dalam penciptaan dan pemahaman karya seni visual. Pemahaman secara teori dan praktikal dapat mempengaruhi penghasilan dan pemahaman sesuatu karya seni visual. Unsur seni terdiri daripada garisan, rupa, bentuk, jalinan, ruang dan warna.Garisan ialah satu deretan titik yang bersambung-sambung dan mempunyai jarak tertentu. Garisan boleh diolah untuk mencipta rupa, jalinan, ton, corak, dan untuk menimbulkan bentuk, ruang, dan pergerakan.

Rupa pula adalah hasil pertemuan titik hujung dengan titik mula. Rupa adalah kawasan rata yang dilingkari garisan luar. Rupa terbahagi kepada dua iaitu rupa geometri dan rupa organik. Rupa geometri merupakan rupa yang bersudut seperti segi tiga, segi empat, piramid, bulat dan sebagainya. Rupa organik pula merupakan rupa bebas yang tidak bersudut seperti rupa daun, buah, batu dan lain-lain. Di samping itu, rupa juga boleh diolah kepada dua bentuk iaitu rupa positif dan rupa negatif. Rupa positif merupakan rupa objek yang terletak di sesuatu kawasan manakala rupa negatif pula merujuk kepada ruang di sekeliling rupa sesuatu objek.

Seterusnya elemen bentuk yang mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan lebih daripada satu permukaan. Bentuk terbahagi kepada dua iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Bentuk konkrit merupakan bentuk objek sebenar yang bersifat 3 dimensi iaitu boleh disentuh, dilihat, dan dirasai (bukan berbentuk gambar). Bentuk ilusi pula ialah bentuk visual yang bersifat 2 dimensi yang digambarkan melalui lukisan atau catatan.

Manakala jalinan ialah kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu benda. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai dengan sentuhan tangan seperti kolaj, arca, dan catatan teknik impasto. Jalinan tampak pula merujuk kepada jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasai dengan tangan seperti corak batik, jalur buah tembikai dan gambar foto.

Selain itu, unsur seni juga terdiri daripada ruang. Ruang ialah kawasan kosong di sekeliling objek, jarak antara dua objek, atau rongga dalam sesuatu objek. Ruang juga terbahagi kepada dua iaitu ruang nyata dan ruang tampak. Ruang nyata ialah ruang sebenar yang terdapat pada bentuk-bentuk konkrit. Ruang tampak pula ialah ruang yang hanya dapat dilihat dalam seni tampak seperti lukisan, catatan dan cetakan (bukan sebenar).

Unsur seni yang terakhir ialah warna yang terbahagi kepada warna harmoni,warna penggenap dan warna sewarna. Warna harmoni ialah warna bersebelahan dalam roda warna (warna sekeluarga, selesa dan seimbang). Warna penggenap ialah warna yang bertentangan dalam roda warna (menimbulkan kesan segar, kaya, kontra, getaran dan pergerakan. Warna sewarna pula hanya satu warna yang mempunyai pelbagai ton (daripada terang kepada gelap). Warna juga mempunyai dua suhu warna iaitu warna panas dan warna sejuk. Warna panas ialah warna antara warna merah ungu hingga kuning hijau pada roda warna (menimbulkan kesan bertenaga, garang, harapan, perang, meriah dan sebagainya). Warna sejuk pula ialah warna antara hijau hingga ungu pada roda warna (menimbulkan kesan sejuk, sedih, damai dan tenang).

Selain unsur-unsur ini, seni visual juga mempunyai prinsip-prinsip rekaan yang tertentu. Prinsip rekaan adalah kaedah atau pengolahan unsur seni untuk menimbulkan gambaran tertentu dalam gubahan seni visual. Prinsip rekaan terbahagi kepada tujuh iaitu harmoni, kontra, penegasan, imbangan, irama dan pergerakan, kepelbagaian dan kesatuan. Dalam istilah bahasa, harmoni membawa maksud aman dan damai. Dalam istilah seni, harmoni merupakan hasil ulangan dan rentak unsur seni yang sesuai dan seimbang. Harmoni wujud dalam penggunaan garisan dan warna dan tidak akan wujud jika ada unsur-unsur yang bercanggah.

Kontra pula wujud jika ada unsur-unsur seni yang bertentangan atau bercanggah dalam sesuatu gubahan. Fungsi kontra ialah untuk menarik perhatian, memberi fokus, mengelakkan kebosanan dan kesan pergerakan. Kontra dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni, teknik dan bahan yang berlainan. Manakala penegasan pula wujud apabila terdapat sesuatu unsur yang menonjol, kontra atau ganjil dalam sesuatu gubahan. Prinsip penegasan berfungsi untuk menarik perhatian, memberi fokus, dan mengelakkan kebosanan. Prinsip penegasan dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni yang kontra atau mengasingkan objek yang hendak ditegaskan.

Seterusnya imbangan yang bermaksud kesamaan dan kesepadanan dari segi berat, tarikan dan tumpuan. Imbangan boleh dibahagikan kepada dua iaitu imbangan simetri dan imbangan tidak simetri. Imbangan simetri ialah unsur seni yang sama antara kiri dan kanan atau atas dan bawah (garisan ‘axis’ dilukis di tengah-tengah pembahagian tersebut).

Imbangan tidak simetri pula ialah unsur seni tidak sama di kedua-dua bahagian tetapi mempunyai cirri-ciri yang menimbulkan kesan keseimbangan. Prinsip rekaan yang seterusnya ialah irama dan pergerakan. Kedua-duanya berfungsi untuk memberi kesan lebih hidup dan realistik terhadap sesuatu gubahan. Pergerakan ialah keadaan yang bergetar, bergoyang, berayun, berpancar, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan dapat dilihat melalui kesan angin, air, ombak, taufan dan lain-lain.

Selain itu, prinsip rekaan juga merupakan unsur kepelbagaian. Kepelbagaian wujud hasil penggunaan pelbagai gaya, nilai, dan idea yang berbeza dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian juga dapat memberi gaya, variasi, tenaga, dan daya tarikan dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, rupa dan warna yang pelbagai dalam sesuatu gubahan. Prinsip rekaan yang terakhir ialah kesatuan. Istilah ini membawa maksud satu tema atau satu idea bagi semua unsur dalam sesuatu gubahan. Kesatuan dapat menimbulkan suasana yang tenteram, teratur dan selesa.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai elemen dan prinsip rekaan dalam seni visual. Kedua-dua item ini memainkan peranan yang penting dalam penghasilan sesuatu karya seni. Setiap karya yang dihasilkan sangat memerlukan penerapan kedua-dua item ini. Sesuatu karya seni tidak akan lengkap sekiranya salah satu daripada item yang diperlukan tidak dimasukkan ke dalam hasil karya tersebut.

RUJUKAN
Azrul Othman (2011). Asas seni reka. Diperoleh pada Februari 26, 2011 daripada
http://notaanimasi.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment