Tuesday 12 April 2011

INTEGRASI DAN PELAKSANAANNYA

Integrasi nasional ialah satu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan dan identiti masing-masing. Ciri-ciri integrasi nasional ini terdiri daripada:
(a) Melibatkan pertembungan dua atau lebih masyarakat dan budaya
(b) Satu bentuk budaya baru dilahirkan dan menjadi milik bersama masyarakat dan budaya berbeza
(c) Dalam budaya baru yang dibentuk, hilangnya identiti masyarakat dan perbezaan budaya
(d) Integrasi sosial boleh berlaku dalam sektor ekonomi, parti politik dan negara.
Justeru, untuk memupuk integrasi sosial dalam kalangan masyarakat di Malaysia, hal ini perlulah diterapkan di bangku sekolah lagi. Pelajar-pelajar berlainan bangsa tidak boleh dipecahkan mengikut keturunan mereka. Dalam setiap kelas, pelajar-pelajar mestilah terdiri daripada pelbagai bangsa terutamanya tiga kaum besar iaitu Melayu, Cina dan India.

Selain itu, sukatan pelajaran juga mestilah menerapkan unsur-unsur yang membawa kepada penyatuan bangsa. Pihak kementerian seharusnya peka dengan permasalahan ini agar sensitiviti masyarakat di Malaysia terjamin. Sukatan mata pelajaran yang menyentuh berkenaan dengan agama, kebudayaan, adat resam serta status masyarakat perlulah ditapis agar tidak menimbulkan konflik dalam kalangan pelajar sekolah. Pelajar-pelajar perlu digalakkan untuk menghormati agama kaum lain sebagaimana kita ingin orang lain menghormati agama kita. Oleh itu, guru-guru perlu memainkan peranan agar pelajar-pelajar yang berlainan kaum itu tidak menjadikan agama sebagai isu untuk mereka permainkan. Di samping itu, pelajar-pelajar juga perlulah saling bercampur antara satu sama lain supaya mereka dapat mengenali kebudayaan bangsa lain dengan lebih baik. Hal ini boleh membantu untuk membentuk satu persefahaman dalam kalangan masyarakat berlainan bangsa yang seterusnya boleh mengelakkan daripada wujudnya pergaduhan antara kaum tersebut.

Dalam mata pelajaran Pengajian Am contohnya, sukatan pelajaran berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan sangat bersesuaian untuk dilaksanakan dalam proses P&P. Hal ini disebabkan pelaksanaan setiap dasar kerajaan itu adalah bertujuan untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia. Contohnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan penduduk pada masa tersebut. Perbezaan jurang ekonomi antara kaum merupakan salah satu penyebab kepada berlakunya peristiwa rusuhan kaum yang akhirnya membawa kepada pergaduhan antara kaum Cina dan Melayu. Oleh itu, pelaksanaan DEB itu bertujuan untuk mengembalikan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia. Justeru, penerapan sukatan mata pelajaran berkaitan dengan dasar ini sangat penting supaya pelajar dapat melihat kesan dan akibat daripada perpecahan serta salah faham yang berlaku beberapa dekad lepas. Ternyata ianya tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada negara malah mendatangkan kerugian kerana banyak nyawa yang terkorban di samping merosakkan harta benda awam.

RUJUKAN
Suhaila dan Sonia, 2010. Perpaduan dan Integrasi Nasional. Diperoleh pada April 9, 2011 daripada
http://www. scribd.com/doc/11460850/Perpaduan-Dan-Integrasi-Nasional-by-Suhaila-Sonia.

No comments:

Post a Comment