Tuesday 12 April 2011

APA ITU KREATIVITI

Kreativiti merupakan satu keadaan yang berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Perkataan ini mempunyai ribuan maksud dan bergantung kepada pemahaman seseorang yang mentafsirkannya. Menurut Hassan (1989) dan Nik Azis (1994), istilah kreatif itu berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘creare’ yang membawa maksud membuat (to make). Manakala dalam bahasa Greek pula, ia berasal daripada perkataan ‘Krainen’ yang bermaksud memenuhi. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai ‘create’ atau ‘cipta’ dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, konsep kreatif dan kreativiti amat luas dan tidak rigid berdasarkan ruang, tempat dan masa. Malah, konsep kreativiti boleh dilihat dalam pelbagai sudut berdasarkan latar belakang seseorang.

Berdasarkan konsep kreativiti secara umum, dapat disimpulkan konsep pemikiran kreatif berkisar kepada entiti berikut:
1. Melakukan sesuatu dengan cara yang unik.
2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern of samneness.
3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukan idea baru.
6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
7. Mencabar andaian.
8. Mencipta sesuatu yang baru.
9. Menghubungkan idea yang tidak berkaitan.
10. Menerbitkan idea besar kepada idea-idea kecil.
11. Berfikir secara fleksibel.
12. Penghasilan idea, penyelesaian, konsep dan produk yang asli (novel).
13. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi.

Manakala dalam proses pengajaran pula, kreativiti boleh diajar kepada murid dengan syarat-syarat berikut:
1. Kreativiti boleh dibangunkan secara individu dan berkumpulan. Tugas guru adalah membantu murid sedar akan kepentingan kreativiti dan membekalkan bahan-bahan serta menentukan bidang-bidang kreativiti dengan jelas.
2. Unsur emosi dan perasaan lebih utama daripada unsur kognitif di dalam kreativiti.
3. Perkara yang tidak logik lebih penting daripada perkara yang logik di dalam proses kreativiti.
4. Unsur perasaan yang tidak logik hendaklah diberi peluang untuk dijelaskan supaya menambah keberhasilan di dalam penyelesaian masalah.

Justeru, pemikiran kreatif adalah pemikiran yang menerbitkan idea bersifat baru dan kadang-kadang berlawanan dengan logik. Namun, pemikiran kreatif mestilah berasaskan manipulasi segala pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada. Menerusi pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki, seseorang itu akan berusaha mencari pelbagai input idea dalam pelbagai perspektif dan dimensi bagi mewujudkan idea atau hasil baru yang lebih baik daripada sebelumnya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Pemikiran kreatif ini mampu membuatkan seseorang itu dianggap hebat sekiranya idea yang difikirkan itu boleh mendatangkan keuntungan kepada dirinya serta dapat diguna pakai oleh orang lain.

RUJUKAN
Hasmadi (2010). Kreativiti dalam pendidikan. Diperoleh pada Februari 20, 2011 daripada
http://hasmadi.blogspot.com/2010/02/kreativiti-dalam-pendidikan.html.
Muassasah Ad Diniyyah (2007). Apa itu kreativiti?. Diperolah pada Februari 24, 2011 daripada
http://muassasah.wordpress.com/2007/03/14/apa-itu-kreativiti/

No comments:

Post a Comment